Friday 6 May 2011

Loji Pandu Kimia


“Awak kena run bioreaktor ini overnight. Awak ambil bacaan setiap satu jam.”
Aina memandang wajah penyelia projeknya. “Maksud Dr Marina? Saya kena stay dekat makmal malam ini? Pernah ke orang buat? Tanya Aina seolah-olah tidak percaya. Aina teringat dokumentari seorang saintis yang kehidupannya berada di makmal siang dan malam. Aina tidak menyangka dia juga akan mendapat pengalaman sedemikian walaupun mungkin untuk satu malam.
“Apa pula orang tak pernah buat. Senior-senior awak dulu yang buat eksperimen guna bioreaktor pun macam itu juga. Bioreaktor, awak deal dengan mikroorganisma. Bila condition berubah, result akan lari. Sebab tu awak kena stay dekat makmal, pastikan condition eksperimen tak berubah.” Terang Dr Marina. “Pastikan awak bawa seorang dua kawan awak. Rasanya dua orang lagi pelajar Dr. Hanafi akan ada di makmal malam ini.” Tambah Dr Marina.
“Ya. Naim dan Mila pun buat eksperimen dekat makmal malam ini. Sekurang-kurangnya tak adalah seram sangat,” kata Aina sambil mencatat butiran maklumat yang perlu untuk menjalankan eksperimennya.
Dr Marina hanya ketawa. “Tak ada apa-apalah Aina. Tenang sahaja. Lagipun ada pengawal kan,” kata Dr Marina sambil tersenyum.
Setelah memakirkan keretanya, Aina menuju ke pintu utama loji pandu. Kelihatan Naim dan Mila berdiri menunggu kedatangan Aina. “Maaf lambat,” kata Aina lalu memasuki pintu diikuti Naim dan Mila.
Setelah berurusan dengan pengawal keselamatan, mereka bertiga bergerak menuruni tangga ke tingkat bawah. Di situlah bioreaktor ditempatkan. “Kalau ada apa-apa, buat tak tahu sahaja.” Itulah pesanan yang diberikan oleh pengawal keselamatan.
Suasana dalam makmal sunyi dan sepi. Ibarat kota lama yang telah lama ditinggalkan walaupun jam baru menunjukkan jam 9.00 malam. Hanya saja mereka mendengar bunyi televisyen, itupun di tingkat atas tempat pengawal keselamatan. Setiba dibawah, ibarat hanya mereka bertiga sahaja yang menghuni dalam bangunan tersebut.
“Seram juga ya. Masa kita lalu tadi, aku tengok jaringan paip antara unit operasi, dah macam alien. Berselirat sana sini,” Naim bersuara.
“Dah, dah. Jangan nak mula. Kita ada kerja nak buat. Aina, kami punya radas dekat bilik bahagian dalam. Tak apa kan Aina seorang kat sini?” Tanya Mila.
“Tak apa kot. Lagipun dari sini aku boleh nampak kamu berdua.” Balas Aina sambil sibuk menyiapkan radas eksperimennya. Ruang eksperimen antara Aina dan rakannya dipisahkan dengan pintu dan bilik bercermin.
Masing-masing sibuk menyiapkan radas. Suasana kembali sepi. Suara gelak tawa Naim dan Mila sudah tidak kedengaran. Mungkin memberi fokus kepada kerja-kerja mereka.
Aina melihat jam tangannya. Jam 10.00 malam. Setiap satu jam, bacaan akan diambil. Masa satu jam diisi Aina dengan meyiapkan tutorial. Sekali sekala Aina bergerak menuju ke bilik rakannya membuat eksperimen.
Dum. Bunyi pintu utama makmal seperti ditutup seseorang.
“Eh, bunyi apa itu? Tanya Naim sambil berpandangan dengan Mila dan Aina. Kedua-dua mereka menggelengkan kepala. Seingat Naim, pengawal keselamatan menyuruh mereka jangan tutup pintu makmal berkenaan, kerana jika ada apa-apa berlaku, mudah bagi mereka mengetahui apa yang sedang berlaku.
Naim memberanikan diri untuk keluar dari bilik eksperimen, diikuti oleh Mila dan Aina. Aneh. Pintu masih terbuka, seperti keadaan asal. Tidak ada tanda-tanda pintu itu ditutup.
“Perasaan saja mungkin. Dah, tak ada apa-apa,” kata Naim cuba menenangkan Mila dan Aina, termasuk dirinya.
Mereka bertiga kembali ke bilik eksperimen, kecuali Aina yang berada di luar kerana mengambil bacaan bioreaktor.
Dum. Sekali lagi bunyi pintu makmal tertutup kedengaran.
Aina tidak memandang pintu berkenaan, sebaliknya meluru ke bilik eksperimen Naim dan Mila.
“Eh, aku dengar lagi pintu itu. Memang dekat aku rasa. Seolah-olah pintu itu tertutup betul-betul,” kata Aina cemas.
“Tak ada apa-apa lah Aina. Anggap sahaja itu pengawal yang tutup pintu,” balas Naim untuk menenangkan Aina biarpun dalam jantung Naim berdegup kencang bagai berlari 1000 meter.
Aina kembali ke meja eksperimennya. Aina cuba mengelak daripada memandang pintu makmal namun tidak dapat tidak, Aina terpandang jua pintu berkenaan kerana teringat peristiwa aneh sebentar tadi.
Jarum jam menunjukkan angka dua. 2.00 pagi. Tinggal lagi dua jam, maka selesailah eksperimen Aina untuk hari tersebut. Aina menjenguk bilik eksperimen, kelihatan Naim dan Mila duduk di meja sambil mencatat sesuatu.
Aina menguap sambil memalingkan wajahnya ke arah pintu. Tiba-tiba, dia terlihat seorang kanak-kanak perempuan berbaju gaun dan bertopi merah tercegat di muka pintu. Kanak-kanak itu tidak bergerak, hanya berdiri tegak sambil menundukkan wajahnya. Aina gamam. Suaranya seperti tersekat, tidak mampu untuk berkata-kata walau sepatah. Aina memandang Naim dan Mila dengan harapan mereka akan perasan. Aina melihat semula ke muka pintu, kanak-kanak itu sudah hilang.
Aina segera meluru ke bilik eksperimen rakannya. Lantas dia menceritakan peristiwa yang dialaminya. “Perasaan sahaja mungkin. Biasalah, bila mata kita mengantuk, otak akan tafsir benda yang bukan-bukan,” kata Naim. Mila tidak bersuara, hanya mendengar.
Jam menghampiri jam 4 pagi. Eksperimen mereka sudah sampai ke penghujung. Setelah mengemas segala alatan, mereka bergerak keluar. Sebelum beredar, Naim menendang-nendang pintu makmal tersebut. “Jangan main-main dengan kamilah!”
“Wei, Naim. Kau jangan macam-macam,” marah Mila.
Aina memerhatikan sekali lagi makmal berkenaan. Khuatir jika ada barang-barangnya yang tertinggal. “Kamu berdua, pasti tak ada barang tertinggalkan? Aku nak tutup lampu ni,” kata Aina sambil berpaling kepada rakannya. “Tak ada.” Jawab mereka berdua serentak.
Aina memalingkan wajahnya untuk menutup suis lampu. Sebelum dia sempat menekan suis, matanya terpandang kanak-kanak sebentar tadi di satu penjuru sambil melambaikan tangan ke arahnya. Aina terus menutup lampu dan berjalan pantas.
“Biasalah dik. Bukan kali pertama benda macam ini. Senior-senior kamu, termasuk pensyarah dah biasa dengan keadaan seperti itu. Bahkan ada lagi teruk. Seperti saya pesan, buat tak tahu sahaja,” kata pengawal keselamatan kepada mereka bertiga sebelum berangkat pulang ke kolej masing-masing.
Wednesday 27 April 2011

Isabella


Jam menunjukkan 2.30 pagi. Ramlan masih belum tidur, semata-mata untuk menyiapkan tugasan yang perlu dihantar keesokan harinya. Titisan terakhir air nescafe telah dihabiskan. Lagu Isabella nyanyian Search diulang dua tiga kali. Tidak tahu mengapa, lagu Isabella begitu sedap didengar pada pagi yang sunyi sepi itu.
“Isabella adalah, lambang cinta dua...dunia...” Ramlan turut sama bernyanyi mengikut alunan Search.
2.45 pagi. Ramlan bersandar pada kerusinya. Suasana semakin sunyi sepi. Jiran sebelah biliknya yang pada mulanya bising kini senyap. Ramlan memandang ke tingkap, hampir 90 peratus bilik-bilik lain bergelap. Semuanya sudah masuk tidur. Hanya tinggal dua atau tiga bilik sahaja masih cerah termasuk bilik perseorangan Ramlan sendiri. Lambaian pokok ara mengikut tarian bayu  di hadapan biliknya yang berada pada aras tingkat dua membuatkan Ramlan berasa sedikit seram. Ramlan berimaginasi, bagaimana agaknya jika ada kain putih berambut panjang mengurai dan mengerbang bertenggek di salah satu dahan pokok tersebut. Tidak! Dia tidak berani berimaginasi.
“Baik aku masuk tidur.” Getus Ramlan, yang mula berasa mengantuk. Sesekali dia menguap. Dia mencapai berus gigi dan pencuci muka untuk ke tandas yang terletak 10 meter ke belakang, tetapi masih di aras yang sama. Sepi. Jiran searas semuanya telah tidur.
“Ah, pekerja kolej ni tidak buat kerja kah? Dah buat laporan pun masih tak tukar lampu. Hantu betul,” ngomel Ramlan. Suasana dalam tandas itu kelam. Dua lampu di bahagian cermin tidak berfungsi. Yang hanya berfungsi hanyalah lampu di bilik mandi. Sesekali Ramlan berimaginasi. Bagaimana agaknya jika ada seseorang memerhati dibalik pintu bilik mandi? Bagaimana jika dia terdengar tarikan flush sedangkan dia berseorangan? Tidak!
“Isabella adalah... lambang cinta dua...dunia...” Ramlan menyanyi. Menyedapkan hatinya. Dia menggosok gigi seperti biasa dan tenang. Berpura-pura tenang pastinya.
“Mengapa kita berjumpa...namun akhirnya...berpisah...” Ramlan pelik. Dari mana datangnya suara itu? Dia perhatikan sekeliling, tiada orang melainkan dia. Meremang bulu roma Ramlan jangan dikata. Degupan jantung Ramlan mengalahkan atlit pelumba pecut.
“Mengapa kita berjumpa...namun akhirnya...berpisah...” bait lagu itu berulang.
Ramlan mencari-cari. Suara itu dekat sekali.
“Mengapa kita berjumpa...namun akhirnya..berpisahhhh...” bait itu berulang, tetapi kali ini garau.
Ramlan terpandang di bawah sinki tempatnya bercermin. Satu makhluk berbalut putih, berambut panjang dan berkerinting, berwajah pucat lesi tersenyum sehingga ke telinga. Seraya bau hanyir menusuk hidung Ramlan.
 Ramlan tidak menunggu panjang. Langkah seribu dan menjerit memecah kesunyian malam bagai orang histeria.
TAMAT